Tuesday, April 16, 2019

TOPIK 6 PENGURUSAN BILIK DARJAH





Pengurusan bilik darjah merupakan kebolehan guru untuk mengawal murid-murid bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Menurut Guey R. Lefroncis (1999), pengurusan bilik darjah merujuk kepada “sesuatu konsep yang komprehensif untuk pelbagai aktiviti guru yang dirancang. Ini bertujuan untuk memudahcarakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Hal ini merangkumi tindakan disiplin, rutin harian, penyusunan tempat duduk dan memperuntukkan masa pelajaran”.


FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PENGRUSAN

BILIK DARJAH

Antara isi penting yang saya peroleh daripada topik ini adalah, faktor-faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik darjah iaitu, faktor fizikal dan faktor kemanusiaan. Menurut Mok Soon Sang (2011) faktor fizikal merangkumi segala bentuk kemudahan dan peralatan yang terdapat di sekolah tersebut. Sebagai contohnya, kemudahan dan peralatan sekolah merujuk kepada bangunan sekolah, kemudahan-kemudahan di kawasannya, meja dan kerusi, alatan serta perabot di dalam bilik darjah. Mengikut kajian pakar-pakar penyelidik, suasana fizikal sekolah kondusif adalah faktor yang penting dalam usaha meningkatkan keberkesanana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam sekolah. Manakala bagi faktor kemanusiaan pula, Mok Soon Sang (2011) telah mengklasifikasikannya kepada dua kategori iaitu faktor sosial dan faktor emosi. Faktor sosial merujuk kepada hubungan dan corak interaksi antara murid dengan murid, khasnya di dalam bilik darjah. Contohnya, murid yang mempunyai sifat pendiam tidak suka bergaul dengan murid yang lain. Faktor emosi pula merujuk kepada perasaan murid-murid terhadap pemimpin dan guru mereka. Sifat-sifat yang ditunjukkan oleh guru di dalam kelas akan mempengaruhi suasana emosi yang akan menimbulkan jenis-jenis tingkah laku murid. Sebagai contohnya, guru yang bersifat agresif akan menimbulkan suasana emosi kegelisahan di kalangan murid.



Pendekatan Pengurusan Bilik Darjah

Seterusnya ialah pendekatan pengurusan bilik darjah. Terdapat 8 pendekatan yang digunakan dalam pengurusan bilik darjah iaitu pendekatan intimidation, cookbook, management, sosioemosi, permisif, pengubahan tingkah laku, pengajaran dan proses kumpulan. Pendekatan intimidation merupakan pendekatan yang mengawal tingkah laku melalui beberapa kaedah yang akan menimbulkan perasaan takut dalam diri pelajar. Contohnya, ancaman, sindiran, paksaan dan sebagainya. Pendekatan autoritarian pula adalah guru akan menetapkan peraturan dan penguatkuasaaan dilakukan tanpa ada sifat tolak ansur kepada murid. Bagi pendekatan cookbook management, guru akan menyenaraikan segala perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan oleh murid-murid. Manakala pendekatan sosioemosi pula adalah suatu kaedah untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang positif melalui pembentukan hubungan antara interpersonal yang baik. Bagi pendekatan permisif, pendekatan ini memberikan kebebasan yang sepenuhnya kepada murid semasa proses pembelajaran. Hal ini bertujuan untuk memperkembangkan lagi potensi setiap murid tersebut. Guru pula hanyalah sebagai konsultan sahaja. 

Seterusnya adalah pendekatan pengubahan tingkah laku. Guru mengucapkan kata-kata pujian dan ganjaran kepada murid. Hal ini bertujuan untuk menggalakkan tingkah laku yang diingini dan mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Pendekatan pengubahan tingkahlaku pula adalah kaedah dimana guru akan memberikan kata-kata pujian dan ganjaran kepada murid supaya mampu menggalakkan penularan tingkah laku yang diingini, dan sebaliknya dapat mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Pendekatan yang seterusnya adalah pendekatan pengajaran. Apabila guru mewujudkan suatu proses pengajaran yang berasaskan aspek keperluan dan minat pelajar, hal ini mampu memotivasikan murid-murid untuk memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pembelajaran, dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan masalah salah laku. Pendekatan yang terakhir ialah pendekatan proses kumpulan. Kumpulan murid yang terdapat di dalam bilik darjah merupakan satu sistem sosial. Oleh yang demikian, guru harus bijak memainkan peranan dalam mewujudkan serta mengekalkan satu sistem sosial yang efektif dan produktif di dalam bilik darjah.




Di samping itu, sumber pembelajaran juga merupakan aspek penting dalam pengurusan bilik darjah. Guru-guru haruslah mengetahui cara-cara bagi menguruskan sumber pembelajaran. Semua sumber pembelajaran mestilah disusun mengikut mata pelajaran yang tersendiri dan diletakkan di suatu tempat yang sesuai serata mudah didapati. Contohnya, ruang Matematik yang telah dilengkapi dengan alat-alat mengira mestilah diletakkan pada tempat yang telah dikhususkan. Guru juga harus menjelaskan secara terperinci kepada murid-murid tentang cara-cara mengedar, mengutip dan menyimpan sumber pembelajaran agar mereka dapat menggunakannya dengan mudah dan efektif.





Sebagai rumusannya, setiap guru haruslah mengetahui maksud pengurusan bilik darjah secara mendalam dan cara untuk menguruskannya. Hal ini dapat membina sebuah organisasi yang baik di dalam bilik darjah. Guru juga haruslah bijak dalam memikirkan pelbagai cara untuk mengatasi masalah disiplin yang sering berlaku di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, sangat penting bagi guru-guru untuk mengambil tahu serba sedikit mengenai latar belakang dan minat murid-murid agar prosesp pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan.

Rujukan yang telah dirujuk:

Abdul Malek Bilal Sidek (1995) Pengurusan Sumber Pengajaran Dan Pembelajaran. Kuala Lumpur DarulFikir Z675 A23 1995
 Abd Rahim Abd Rashid (1999) Profesionalisme Motivasi Penngurusan Bilik Darjah Kuala Lumpur Utusan Publications LB3013 A23
(1994) Pengurusan Bilik Darjah Kuala Lumpur Dewan Bahasa Dan Pustaka LB3013 C46
Mok Soon Sang (2009) Pengurusan Bilik Darjah Dan Tingkah LakuPuchong Selangor Penerbitan Multimedia LB3013 M65


No comments:

Post a Comment