Tuesday, April 16, 2019

TOPIK 5 PENGURUSAN MURID




Menurut Jaafar Muhammad (1998) mendefinisikan pengurusan sebagai satu proses yang digunakan untuk mengagihkan input-input organinasi dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan. Hal ini bertujuan untuk mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan supaya objektif organisasi dapai dicapai. Proses pengurusan murid ini terdiri terdiri daripada beberapa aspek iaitu proses perancangan, pentadbiran dan pengawalan atau pemulihan. Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Hal ini kerana pelaksanaannya di sesebuah sekolah tersebut akan mencerminkan prestasi sekolah. Kepimpinan sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan.

Isi penting yang saya perolehi dalam topik ini adalah mengenai Sistem Maklumat Murid Berkomputer (SMM), Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), E-pantau dan Sistem Laporan Adab Belajar. Sistem Maklumat Murid Berkomputer (SMM) ini mula diperkenalkan pada tahun 2000 oleh Tuan Haji Mohd Yusof bin Muda, yang pada ketika itu beliau merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Seri Kemaman pada masa itu. Sistem Maklumat Murid Berkomputer (SMM) mengandungi beberapa makluat seperti senarai rekod kesihatan murid, rekod Rancangan Makanan Tambahan, rekod skim pinjaman buku teks, rekod kedatangan harian, dan kemudahan mendaftar untuk murid.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah pula ini merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai dari aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum Kebangsaan Malaysia. PBS ini telah mula dilaksanakan di Sekolah Rendah pada tahun 2011 dan diperkenalkan di peringkat Sekolah Menengah pada tahun 2012. Pada tahun 2016, murid-murid sekolah rendah telah menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang ditambahbaik, dan pada tahun 2014 pula Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS. Matlamat PBS adalah untuk menilai perkembangan dan kemajuan murid secara menyeluruh melalui aspek pengetahuan, kemahiran serta nilai untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan bagi membuat tindakan susulan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pihak sekolah merupakan individu yang akan mengendalikan PBS dan pentaksiran dilaksanakan oleh guru-guru matapelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. PBS perlu dirancang, diskor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia agar mampu meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahan skor pentaksiran yang dilaksanakan.




Seterusnya, E-pantau merupakan gabungan antara Sistem Maklumat Murid Berkomputer dan Sistem Pengurusan peperiksaaan untuk memantau prestasi peperiksaan bulanan di sekolah-sekolah. Sistem ini dicipta kerana ingin mengurangkan beban yang dipikul oleh guru-guru membuat analisis seperti yang dikehendaki sehingga menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik-bilik darjah. Justeru itu, sisitem E-pantau ini juga membolehkan sekolah-sekolah menentukan Take-off Value(TOV) setiap murid sebelum melaksanakan Expected Target Result (ERT).




Selain itu pada bulan Januari 2004, Sistem Laporan Adab Belajar telah diperkenalkan di sekolah ekoran daripada cadangan daripada Kementerian Pendidikan (2003). Sistem ini dilaksanakan untuk menilai murid dari segi pencapaian akademik dan mereka perlu dinilai secara keseluruhan iaitu merangkumi aspek perkembangan emosi dan tingkah laku. Tambahan pula, Sistem Laporan Adab Belajar merupakan satu medium untuk melaporkan dengan lebih komprehensif berdasarkan penilaian yang dilakukan secara menyeruh terdahap setiap murid. Penilaian ini dilaksanakan oleh guru kelas dan guru mata pelajaran di sekolah tersebut.




Seterusnya, isi penting yang saya perolehi adalah mengenai kesediaan murid belajar. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, istilah ‘kesediaan’ ditakrifkan sebagai perihal sedia, kesanggupan atau kerelaan. Manakala istilah ‘belajar’ pula bermksud berusaha untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Oleh itu, ‘kesediaan belajar’ boleh ditakrifkan sebagai keadaan status diri individu yang rela untuk menerima suatu ilmu pengetahuan dengan berfikiran terbuka daripada persekitarannya. Terdapat tiga jenis kesediaan belajar iaitu kesediaan kongnitif, kesediaan afektif, dan kesediaan psikomotor. Kesediaan Kognitif adalah kesediaan belajar untuk melakukan aktiviti seperti berfikir, menaakul, menganalisis dan menilai. Keupayaan kesediaan kognitif ini akan bertambah mengikut tahap perkembangan umur seseorang. Piaget (1952) mengatakan bahawa teori ini boleh diaplikasikan untuk merancang aktiviti pembelajaran dan objektif. Kesediaan afektif pula merujuk kepada sikap kesedaran, keinginan, semangat, ketekunan, perasaan dan minat seseorang untuk melaksanakan suatu aktiviti. Manakala kesediaan psikomotor pula berkaitan dengan penggunaan keperluan kemahiran dan penyelarasan tulang dan otot aktiviti fizikal. Kesediaan psikomotor ini harus diambil kira kerana setiap murid mempunyai potensi dan tindakan fizikal yang berlainan walaupun berada pada umur yang sama.




Selain itu, terdapat faktor domain yang mempengaruhi kesediaan belajar iaitu faktor pengalaman dan kematangan. Faktor pengalaman adalah pengalaman yang asas yang mampu menyediakan individu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih mudah dan jelas. Faktor kematangan pula berkaitan dengan proses pertumbuhan yang wujud dalam setiap diri murid, dan merupakan unsur yang penting dalam prasyarat pembelajaran berkesan. Faktor ini dibahagikan kepada empat peringkat iaitu kematangan fizikal, mental, sosial, dan emosi.

1      Kesediaan Murid Dalam Bilik Darjah
Kesediaan Murid Belajar Pembelajaran di dalam bilik darjah hanya akan berlaku sekiranya wujud kesediaan. Kesediaan ini merangkumi tiga bahagian iaitu kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor.
• Kesediaan kognitif
 Kesediaan kognitif merujuk kepada peringkat perkembangan mental untuk menerima rangsangan dan memahaminya, menaakul dan berfikir serta dapat menghubungkaitkan pengalaman yang sedia ada seseorang. Keupayaan ini akan bertambah mengikut tahap perkembangan umur seseorang.
• Kesediaan afektif
Kesediaan afektif merupakan sikap dan minat pelajar terhap sesuatu pelajaran. Apabila pelajar mempunyai kesediaan afektif yang positif, secara tidak langsung mereka akan menjadi aktif dan mudah untuk menerima pembelajaran. Secara tidak langsung, pelajar memperoleh kepuasan dan keseronokan dalam pembelajaran. Malahan ini menjadi dorongan kepada mereka untuk lebih berjaya.
 • Kesediaan psikomotor
Kesediaan psikomotor adalah kesediaan fizikal dan psikomotor kasar dan halus pelajar untuk menjalani latihan yang menggunakan fungsi tubuh badan sebagai penggerak utama. Penguasaan kesediaan psikomotor bergantung kepada kesediaan kognitif serta kesediaan afektif pelajar.




Terdapat faktor yang mempengaruhi kesediaan pelajar iaitu faktor pengalaman dan kematangan.
1      Pengalaman
 Pengalaman yang sedia ada dalam diri seseorang pelajar menjadi faktor utama mempengaruhi kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran yang disampaikan oleh guru. Sesetengah guru menghadapi kesukaran dalam melaksanakan pengajaran kerana isi pelajaran yang disampaikan itu berada di luar pengalaman pelajar.
2       Kematangan
i.        Kematangan fizikal
Kematangan fizikal melibatkan perkembangan psikomotor. Individu yang normal akan mengalami perkembangan dan mencapai satu tahap kematangan fizikal yang sama dalam tempoh masa yang seragam. Aspek ini menjadi rujukan utama kepada guru-guru yang mengendalikan subjek berkaitan dengan penggunaan tubuh badan.
ii. Kematangan mental
 Kematangan mental merupakan perkembangan dan persediaan minda manusia untuk menerima sesuatu pembelajarannya. Kebiasaanya, kanak-kanak berusia enam tahun tidak boleh memahami apa-apa yang dipelajari oleh murid tahun enam. Hal ini kerana, kanakkanak enam tahun belum didedahkan dengan konsep-konsep abstrak yang telah dipelajari oleh murid tahun enam.
 iii. Kematangan sosial
Kematangan sosial merupakan keupayaan seseorang individu itu membentuk hubungan baik dengan individu lain. Individu yang mempunyai kematangan sosial yang baik akan mempamerkan sikap dan tingkah laku yang positif apabila berinteraksi dengan individu lain.
iv. Kematangan emosi
 Menurut Shahbuddin hashim dan Dr. Rohizani Yaakob (2003: 14), kematangan emosi merujuk kepada kestabilan dalam minat, sikap serta keinginan. Oleh itu, rangsangan yang selaras dengan minat dan keinginan tentunya akan mempengaruhi kesediaannya untuk menerima pelajaran. 

Motivasi terbahagi kepada motivasi instrinsik dan motivasi extrinsik. Bagi motivasi instrindik ialah bermaksud kecenderungan dalaman untuk menumpukan perhatian kepada minat, membuat latihan kepada keupayaan, mencari dan menjadi pakar di dalam cabaran optimal. Manakala motivasi extrinsik bermaksud terjadi daripada insentif yang diterima daripada persekitaran dan juga bergantung pada implikasi daripada insentif tersebut.

Terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti murid yang bermotivasi rendah. Terlebih dahulu, guru boleh menyemak prestasi akademik setiap pelajar bagi menegetahui pelajar yang lemah. Selain itu, guru atau pihak lain perlu meneliti segala kelakuan dan aktiviti yang dilakukan oleh para pelajar secara keseluruhannya di sekolah dan di rumah. Di samping itu, guru boleh memerhati sesiapa yang suka bergantung pada orang lain dan tidak suka menukar pandangan dalam kelas.



Dari segi, pengajaran dan pembelajaran, guru haruslah mencari minat pelajar. Guru harus peka terhadap minat pelajar dan bertanya soalan berdasarkan apa yang pelajar minati. Semua pelajar mempunyai kecerdasan emosi yang berbeza. Guru tidak haruslah bersikap prejudis terhadap pelajar yang mempunyai kecerdasan yang berbeza. Kepentingan memotivasikan murid ialah memberi keyakinan kepada setiap individu tersebut. Motivasi juga dapat membuatkan pelajar fokus terhadap pelajarannya. Memupuk minat para pelajar terhadap sesuatu yang mereka minati. Sbagai contohnya, sekiranya ada motivasi, pelajar akan meminati sesuatu bidang. Seorang ahli fizik yang menceritakan tentang ilmu fizik akan memberikan motivasi kepada pelajar dan hal ini akan menyebabkan pelajar tersebut meminati ahli fizik.



Sebagai rumusannya, seorang guru itu seharusnya tidak memberikan fokus yang sepenuhnya kepada aktiviti mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran sahaja. Guru tersebut haruslah mengetahui tentang pengurusan murid dan mengaplikasikannya kepada setiap murid. Ini kerana murid-murid tersebut memerlukan seorang penolong yang arif untuk menolong mereka melebarkan sayapnya ke tahap yang lebih tinggi dalam dunia pendidikan.


Rujukan yang telah dirujuk:

Abdul Malek Bilal Sidek (1995) Pengurusan Sumber Pengajaran Dan Pembelajaran. Kuala Lumpur DarulFikir Z675 A23 1995

Ang Jit Eng (2007) Pengurusan Disiplin Murid Kuala Lumpur PTS Professional Publishing LB3012 4 M4 A54

Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim(2001) Pengurusan Perkhidmatan Personalia Murid Shah Alam Selangor Cerdik PUB LB 10275 M59

No comments:

Post a Comment